mutakhir

Kaki konvoi

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

Kuala Lumpur: Gila konvoi. Itu gelaran sesuai diberikan kepada segelintir pemilik kereta antik yang gemar berkonvoi hampir setiap hujung minggu.

Juruteknik kenderaan perdagangan, Muhammad Fadhil Noh, 26, berkata, kegilaan dia dan rakannya berkonvoi dalam kumpulan kecil mahupun besar adalah bertujuan mengeratkan silaturahim.

“Mungkin ada orang cakap kami ‘gila’ kerana melakukannya setiap hujung minggu kerana memerlukan belanja dan kos.

“Namun bagi kami perkara paling penting adalah mengeratkan silaturahim.

“Dengan berkonvoi, bukan saja dapat mengeratkan hubungan, tetapi membuatkan kami terbabit dalam kerja amal seperti membantu gelandangan di ibu kota,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dia dan rakannya sudah berkonvoi hampir di seluruh negara.

“Selalunya, pada setiap hujung minggu kami berkonvoi ke negeri berdekatan dengan ibu kota. Adakalanya hanya pusing ibu kota bagi membantu mereka memerlukan.

“Lain pula kisahnya ketika cuti panjang, kami akan berkonvoi hingga ke negara jiran seperti Thailand.

“Baru-baru ini kami berkonvoi ke Genting Sempah dan berbuka bersama di sana. Masing-masing bawa bekal seorang sikit dan kongsikannya. Ini antara detik dan saat manis setiap kali berkonvoi,” katanya.

Ditanya mengenai kenderaan antik dimilikinya itu, Muhammad Fadhil berkata, dia memiliki kereta jenis Mini Austin yang diwarisi daripada abang iparnya.

“Saya sudah belanjakan hampir RM30,000 untuk kenderaan ini. Saya kumpul duit buat (baiki) sikit-sikit, ia makan kos lebih besar berbanding melakukan pembaikan penuh sekaligus.

“Walaupun sudah berhabis banyak wang untuk kereta itu, saya amat berpuas hati dan gembira dengan keadaannya kini,” katanya mengakui, menyertai konvoi berjaya menghilangkan tekanan di tempat kerja.

Disiarkan pada: June 23, 2018 @ 5:27am
d