mutakhir

Tiga sayap UMNO pilih pemimpin

Oleh Nazura Ngah

MESYUARAT tiga sayap UMNO bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri berlangsung serentak, hari ini dengan agenda pemilihan kepemimpinan baharu pergerakan bagi peringkat bahagian dan pusat.

Bagi pemilihan Wanita di peringkat pusat, tiga calon termasuk Naib Ketua Wanita, Datuk Seri Azizah Mohd Dun; bekas Ketua Wanita, Tan Sri Dr Siti Zaharah Sulaiman dan bekas Ketua Puteri yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad mencabar jawatan ketua.

Empat calon bersaing bagi merebut jawatan Naib Ketua Wanita iaitu Ketua Penerangan Wanita, Datuk Rosni Zahari; Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang, Datuk Norliza Abdul Rahim; Endang Kusma Mohamed dan Masdiana Salleh.

Seramai 81 calon bertanding jawatan ahli jawatankuasa, selain dua bagi jawatan pengerusi tetap dan empat bagi jawatan timbalan pengerusi tetap sayap itu.

Bagi Pemuda pula, sembilan individu disenaraikan bertanding merebut jawatan itu termasuk Naib Ketua Pemuda, Khairul Azwan Harun; Ahli Majlis Tertinggi Datuk Dr Asyraf Wadji Dusuki; Ketua Pemuda Pahang Mohd Shahar Abdullah serta Ketua Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Sembilan calon pula bertanding untuk jawatan naib ketua Pemuda, manakala 184 calon bertanding untuk ahli jawatankuasa pergerakan itu, dua calon bagi jawatan pengerusi tetap dan tiga bagi jawatan timbalan pengerusi tetap.

Jawatan Ketua Puteri menyaksikan persaingan antara Naib Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan dan EXCO Puteri, Nor Hazreena Mohamad Hashim.

Lima calon lain akan merebut jawatan naib ketua, 71 calon akan bertanding merebut jawatan ahli jawatankuasa dan dua calon untuk jawatan pengerusi tetap.

Jawatan timbalan pengerusi tetap dimenangi Salbiah Saari tanpa bertanding selepas menjadi calon tunggal untuk jawatan itu.

Sebelum ini, bercakap kepada NSTP, Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilaporkan berkata keputusan barisan kepemimpinan baharu tiga sayap UMNO secara rasmi dijangka hanya diketahui seawal jam 1 pagi esok.

Disiarkan pada: June 23, 2018 @ 10:56am
d