mutakhir

Anggota MOSAR dapat elaun tetap

Oleh Mohd Nazllie Zainul

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memberikan elaun bulanan tetap RM200 bermula Mei kepada anggota Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) di Sabah.

Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid berkata elaun tetap berkenaan adalah pemberian istimewa daripada kerajaan kepada semua anggota MOSAR yang dilihat banyak memberikan sumbangan kepada jabatan terutamanya apabila berlaku pelbagai kes di Gunung KInabalu.

“Sebelum ini, anggota MOSAR hanya dibayar sebanyak RM6 sejam mengikut jumlah masa mereka bertugas namun sistem pembayaran elaun berkenaan sudah diubah kepada bulanan bermula Mei lalu.

“œKita lihat pemberian elaun tetap seumpama ini dapat membantu untuk meningkatkan semangat selain berharap dapat meningkatkan mutu perkhidmatan dalam kalangan anggota itu sendiri.

“Sumbangan anggota MOSAR ini besar disebabkan mereka bukan hanya menjalankan tugas hakiki sebagai malim gunung tetapi turut melaksanakan kerja menyelamat sekiranya berlaku sebarang kecemasan di atas gunung,” katanya ketika sidang media selepas hadir menyempurnakan Majlis Hari Raya Aidilfitri dan Kaamatan, dekat Kota Kinabalu, malam tadi.

Turut hadir Pengarah JBPM Negeri, Nordin Pauzi dan Timbalan Pengarah JBPM Negeri, Zuraidah Latip.

Acara rumah terbuka menggabungkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Kaamatan peringkat negeri terbabit dihadiri lebih 500 tetamu terdiri daripada anggota bomba dan keluarga di seluruh negeri.

Dalam pada itu, Mohammad Hamdan menyatakan pihaknya masih meneruskan pelaksanaan untuk membina balai bomba baharu di Putatan.

Menurutnya, tapak balai bomba berkenaan sudah dikenalpasti iaitu berhadapan sebuah pasar raya di pekan dan proses mengambil alih milik juga sudah dibuat namun masih terdapat beberapa proses berkaitan perlu dilakukan sebelum meneruskan projek terbabit.

Manakala balai bomba di Kimanis kini sudah siap dibina kira-kira 98 peratus dan hanya perlu menantikan kelulusan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) serta dijangka beroperasi bulanhadapan.

“Dua lagi balai bomba baharu di Sook dan Pitas yang dianggarkan mengambil kos kira-kira RM5 juta setiap balai pula dijangkakan siap sepenuhnya September ini.

“Kita berharap dengan adanya lebih banyak pembinaan balai bomba baharu di kawasan yang dianggap mempunyai keperluan dapat memendekkan masa tindakbalas sekiranya terdapat sebarang laporan kebakaran” katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2018 @ 11:15am
d