mutakhir

Lembah Klang dilanda banjir kilat

Oleh Nor Azizah Mokhtar

BEBERAPA kawasan sekitar Lembah Klang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat diselangi hujan renyai sejak awal pagi hari ini.

Laluan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Zoo Negara dari arah Taman Melati menghala ke Ampang antara lokasi yang terjejas teruk akibat banjir kilat, tengah hari ini.

Banjir kilat dilaporkan berlaku susulan hujan lebat berlarutan jam bermula sekitar 11 pagi menyebabkan laluan itu dilimpahi air.

Keadaan itu turut mengakibatkan kesesakan teruk di laluan terbabit dan keadaan sesak itu berlarutan sehingga lewat petang walaupun banjir dilaporkan surut sepenuhnya pada 5 petang.

Dalam pada itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima beberapa laporan banjir kilat di beberapa daerah di negeri itu, petang hari ini.

Menurut jurucakapnya, antara kawasan dilaporkan berlaku banjir kilat adalah di Jalan 3, Lembah Jaya Utara, Ampang dan Kampung Batu 16, Dusun Tua, Hulu Langat.

“Laporan kejadian banjir kilat di Jalan 3 Lembah Jaya Utara diterima pada 4.25 petang dan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dihantar ke lokasi untuk membuat pemantauan.

“Pemantauan mendapati paras air anak sungai di situ naik setinggi 0.6 meter, bagaimanapun keadaan banjir terkawal,” katanya.

Beliau berkata, empat rumah dilaporkan terjejas dalam banjir kilat yang dilaporkan berlaku di Kampung Batu 16 Dusun Tua susulan limpahan air dari sungai berhampiran.

Menurutnya, banjir kilat turut dilaporkan berlaku di Kampung Chincang, Sepang sekitar 4.30 petang susulan hujan lebat sekitar 11 pagi dan berlarutan sehingga 4.30 petang.

“Beberapa kediaman terjejas akibat banjir kilat terutama di kawasan rendah susulan limpahan air dari Sungai Labu.

“Banjir kilat turut berlaku di Kampung Sungai Gahal dan sekitar kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Jalil, Hulu Langat berpunca daripada hujan lebat melebihi dua jam dan menyebabkan aras air sungai di situ meningkat dan melimpah.

“Setakat ini tiada pusat pemindahan banjir dibuka untuk semua kes banjir kilat dilaporkan itu,” katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2018 @ 10:18pm
d