mutakhir

Mayat dua sepupu hilang dijejaki

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Marudi: Mayat dua sepupu yang hilang ketika memancing bersama datuk mereka di tepi dermaga Sungai Baram, Marudi, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR), semalam.

Mayat Mohd Zafril Waslie, 13, ditemui pasukan SAR jam 1.03 tengah hari manakala Mohd Alyeff Ong, 14, ditemui satu jam kemudian.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sarawak berkata, kedua-dua mangsa ditemui pada radius satu kilometer dari lokasi mereka dilaporkan hilang, Jumaat lalu.

Katanya, operasi SAR yang masuk hari kedua bermula jam 6 pagi menggunakan teknik carian permukaan dan menjala pada kawasan tebingan dan sekitar Sungai Baram dalam radius satu kilometer.

“Operasi diteruskan hari ini (semalam) selepas mayat lelaki warga emas ditemui semalam (kelmarin). Teknik pencarian permukaan dan menjala dilakukan bagi mengesan mangsa.

“Mangsa ditemui terapung di sungai berkenaan oleh pasukan SAR sebelum diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Marudi bagi bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, operasi SAR dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung ditamatkan sepenuhnya jam 2.20 petang semalam.

Kelmarin, mayat datuk mangsa, Sujai Jaraee, 72, ditemui terapung di tepi bot ekspres pada jam 7 pagi namun dua cucunya masih belum ditemui.

Siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa ke kawasan itu pada jam 5.50 pagi untuk memancing namun kehilangan tiga sekeluarga itu hanya disedari selepas orang awam menemui mayat warga emas terapung di dermaga Sungai Baram.

Disiarkan pada: June 24, 2018 @ 5:55am
d