mutakhir

Noor Azmi keluar UMNO, BN

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

AHLI Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali hari ini umum keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Setakat ini, beliau mengesahkan menjadi wakil rakyat bebas tetapi dijangka menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Dr Noor Azmi mengisytiharkan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Noor Azmi berkata, keputusan itu adalah satu keputusan yang penuh bermakna dan bersejarah buat dirinya serta rakyat Bagan Serai yang diwakilinya di Dewan Rakyat.

"Tidak mudah untuk saya membuat kenyataan dan membuat keputusan ini, setelah saya fikirkan sedalam-dalamnya keputusan ini diambil dengan mengambil kira kepentingan rakyat yang saya wakili dan demi kepentingan agama bangsa dan negara.

"Rakyat dan pengundi Bagan Serai sudah membuat keputusan menyokong dan memilih saya sebagai Ahli Parlimen pada pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Keputusan ini amat penting bagi kesinambungan segala tugasan dan khidmat saya untuk rakyat Bagan Serai.

"Saya juga berharap supaya keputusan saya ini difahami dan diterima rakyat dan pengundi Bagan Serai," katanya pada sidang media di Bagan Serai, hari ini.

Disiarkan pada: June 24, 2018 @ 10:56am
d