mutakhir

Macam tinggal dalam tin sardin

Oleh Rosliza Mohamed

IBARAT tin sardin yang padat. Itu keadaan yang dapat menggambarkan 13 sekeluarga mendiami sebuah rumah papan satu bilik yang usang di Pasir Tumbuh, Kota Bharu.

Semua mereka termasuk empat kanak-kanak berusia satu hingga 12 tahun terpaksa bersesak-sesak di dalam rumah usang berusia lebih 30 tahun itu.

Pemilik rumah, Saadiah Samat, 63, berkata, kediaman itu adalah peninggalan suaminya, Latiff Awang yang meninggal dunia 11 tahun lalu.

Menurutnya, rumah papan itu banyak yang rosak membabitkan bahagian dapur, bilik dan ruang tamu selain bumbung yang bocor serta papan lantai reput.

“Kami terpaksa tidur berhimpit kerana rumah ini hanya ada satu bilik. Bagi kami yang dewasa tidak kisah mengenai kesulitan tidur tetapi bagi kanak-kanak terutama yang kecil, mereka akan rasa tidak selesa.

“Mak cik berharap sangat ada pihak sudi membantu membaik pulih rumah ini kerana enam anak lelaki yang berusia antara 26 hingga 38 tahun hanya bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan yang tidak menentu,” kata ibu kepada sembilan anak itu ketika di temui di rumahnya, hari ini.

Selain enam anak lelaki, seorang lagi anak perempuan Saadiah dan menantunya serta empat cucu turut tinggal di rumah itu.

Dua lagi anak Saadiah masing-masing lelaki dan perempuan berusia 25 dan 27 pula tinggal di kampung berdekatan dan di Johor.

Mengenai perbelanjaan harian bersama keluarga, Saadiah berkata, mereka tidak mempunyai masalah walaupun pendapatan diperoleh semua anak lelakinya tidak seberapa.

Katanya, sebelum ini keluarganya pernah meminta beberapa pihak membaik pulih rumah mereka namun tiada tindakan susulan.

“Keadaan rumah kami akan teruk apabila hujan kerana keadaan bumbung dan dinding rumah yang tidak sempurna,” katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2018 @ 2:01pm
d