mutakhir

5 tan sampah!

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LIMA tan sampah dikumpul hasil kerjasama pelbagai pihak bagi membersihkan kawasan sekitar Pulau Mabul, dekat Semporna.

Program hasil kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA), penduduk kampung dan pengusaha resort ini diadakan antara lain bertujuan mendidik masyarakat menjaga kebersihan pulau berkenaan yang menjadi destinasi percutian popular bagi pelancong luar.

Sempena program itu, penyelam skuba syarikat pelancongan di Pulau Mabul turut membantu mengutip sampah di dasar laut dan di sekitar kawasan penempatan rumah atas air.

Pengerusi Persatuan Syarikat Pelancongan Bumiputera Tempatan Semporna, Kerino Jalani berkata, masalah sampah di Pulau Mabul semakin membimbangkan sehingga aktiviti gotong-royong yang diadakan setiap tiga bulan, kini dijalankan setiap minggu iaitu pada Sabtu dan Ahad.

Beliau mendakwa, masalah sampah berlaku disebabkan kurang sifat bertanggungjawab sesetengah pengusaha resort yang baru membina pusat peranginan di kawasan pulau sehingga sampah di resort itu hanya dibuang ke laut.

“Kali ini kami mengumpul lima tan sampah. Saya lihat kebanyakan resort yang baru dibina dan sudah lama bertapak di kawasan ini tidak menghantar sampah ke Jeti Umum Semporna, sebaliknya membuangnya ke laut.

“Ada juga pengusaha resort yang menghantar sampah ke Jeti Umum, namun tidak mengambil inisiatif untuk menghubungi pihak Majlis Daerah Semporna untuk mengutip sampah berkenaan dan hanya membiarkan ia terkumpul di situ (Jeti Umum),” katanya kepada NSTP.

Kerino berkata, bagi menangani masalah itu, pihaknya sendiri akan mengambil inisiatif memantau semua pengusaha resort di kawasan Pulau Mabul supaya sampah dihantar terus ke Jeti Umum Semporna.

“Kita akan lebih agresif menjalankan pemantauan dengan mengekori bot yang menghantar sampah dari resort hingga ke Jeti Umum Semporna dan menghubungi Majlis Daerah Semporna untuk menguruskan sampah berkenaan.

“Saya juga menasihatkan orang awam dan pengusaha resort supaya lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan pulau ini kerana ini adalah salah satu pulau yang menjadi tarikan pelancong luar.

“Jika kawasan ini kotor, tidak ada lagi pelancong akan memilih pulau ini sebagai destinasi percutian mereka,” katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2018 @ 7:14pm
d