mutakhir

Bom buatan Malaysia untuk lancar serangan...?

Oleh BERNAMA

TENTERA Thailand menyokong dakwaan yang dibuat oleh polis Narathiwat bahawa 41 butir bom yang dirampas di daerah Takbai, beberapa hari lalu dihasilkan di negara jiran dan diseludup ke negara berkenaan.

Menurut Komander Tentera Wilayah 4 Leftenan Jeneral Piyawat Nakwanich, bom buatan sendiri itu hendak digunakan untuk melancarkan serangan oleh militan selepas Ramadan.

“Hasil siasatan, kami mendapati bom itu diseludup dari Malaysia, tetapi kami perlu menjalankan siasatan lanjut untuk menentukan sama ada ia diseludup dalam bentuk lengkap atau sebahagian, dan kemudian dipasang semula di negara ini,” kata beliau kepada Bernama ketika dihubungi, hari ini.

Piyawat, pegawai tertinggi tentera Thailand di selatan negara itu ditanya mengenai rampasan bom buatan sendiri di pusat pemeriksaan polis di Kampung Saring, Takbai, tiga hari lalu.

Seorang pemandu trak berusia 39 tahun ditahan.

Turut dirampas daripada trak pikap itu ialah alat pemasa bagi bahan peledak dan beberapa peranti komunikasi, yang menurut pegawai Explosive, Ordnance and Disposal (EOD) di tempat kejadian, hendak digunakan untuk meletupkan bom itu, masing-masing seberat kira-kira 500 gram, menggunakan alat kawalan jauh.

Piyawat, orang yang diamanahkan oleh Bangkok untuk menumpaskan pergolakan bersenjata di selatan Thailand mengulangi dakwaan yang dibuat oleh Ketua Polis Narathiwat Mejar Jeneral Manas Sikamat mengenai bom itu yang dihasilkan di Malaysia, ketika ditemui media tempatan, sehari selepas insiden terbabit.

Menurut beliau, bom berkenaan diseludup ke selatan Thailand melalui ‘laluan sempadan semulajadi’ dengan kebanyakan membuat spekulasi bahawa penyeludup menggunakan Sungai Golok yang sempit, yang memisahkan kedua-dua negara, untuk membawa masuk bahan letupan itu.

Sungai Golok yang sinonim dengan kegiatan penyeludupan juga bertindak sebagai sempadan semula jadi, dengan bandar Sungai Golok di wilayah Narathiwat dan pekan Rantau Panjang di Kelantan menjadi batas sempadan antara kedua-dua negara.

Penyiasat berkata, trak pikap itu yang membawa bom terbabit dari Sungai Golok sebelum ia ditahan di Takbai, dalam perjalanan untuk menghantar bahan letupan berkenaan kepada seorang individu tidak dikenali di Ranget, Narathiwat.

Piyawat juga berkata, pihak berkuasa meningkatkan usaha untuk memburu seorang suspek yang dikaitkan dengan rampasan bom buatan sendiri itu.

Suspek sempat bolos dan dipercayai bersembunyi bersama rakan-rakannya.

Walaupun pihak tentera merampas sejumlah besar bom buatan sendiri di Narathiwat, namun Piyawat terus yakin bahawa situasi bertambah baik di selatan Thailand.

Beliau berkata, situasi pada keseluruhannya bertambah baik dengan ketara sambil menarik perhatian bahawa daripada 10 kes keganasan di selatan Thailand, hanya beberapa kes adalah berkaitan konflik bersenjata yang berlarutan sekarang sementara yang lain disebabkan konflik peribadi.

Menurut sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Deep South Watch (DSW) yang memantau keadaan di selatan Thailand, kira-kira 7,000 orang menjadi korban sejak 2004 akibat konflik bersenjata di wilayah-wilayah di selatan berhampiran sempadan Thailand-Malaysia.

Disiarkan pada: June 24, 2018 @ 9:12pm
d