mutakhir

Sedih anak muda pilih belajar 'silat import'

Ampang: Perkembangan pesat seni mempertahankan diri seperti taekwondo, judo, karate dan wing chun di negara ini disifatkan sebagai satu bentuk penjajahan baru.

Yang di-Pertua Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) Datuk Adiwijaya Abdullah berkata, kebanjiran dan perkembangan seni mempertahankan diri yang ‘diimport’ dari negara luar adalah penjajahan berbentuk psikologi.

“Penjajahan ini akan merosakkan jati diri anak remaja kita terutamanya Melayu. Seni daripada luar ini tidak menerapkan elemen keagamaan yang akhirnya merosakkan mereka.

“Berbanding dengan silat gayong, nilai agama dan ketaatan kepada negara diterapkan seawal hari pertama sesiapa sahaja yang menjadi ahli,” katanya ketika ditemui di Rumah Gayong.

Menurut Adiwijaya, sikap segelintir anak muda yang memilih seni mempertahankan diri daripada luar sehingga menolak silat gayong adalah satu perkara yang menyedihkan.

“Mereka (anak muda) beranggapan belajar silat gayong sebagai kelas bawahan adalah perkara mengarut. Silat Gayong sudah berkembang di 13 negara di dunia antaranya Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Syria, Tunisia dan Jerman.

“Orang luar bijak menilai seni mempertahankan diri warisan Melayu dengan menyifatkannya sebagai antara yang terbaik di dunia. Kenapa kita (rakyat Malaysia) perlu menolaknya.

“Silat gayong itu adalah Melayu. Kedua perkara penting ini adalah saling melengkapi. Jika bukan anak muda Melayu mengangkat martabat budaya bangsa, siapa lagi?,” katanya.

Disiarkan pada: June 25, 2018 @ 10:06am
d