mutakhir

Tidur berhimpit

Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Ibarat satu tin sardin yang padat. Itulah perumpamaan boleh digambarkan mengenai satu keluarga besar seramai 13 orang mendiami sebuah rumah papan yang usang di Pasir Tumbuh.

Semua mereka termasuk empat kanak-kanak berusia satu hingga 12 tahun, tidak mampu membaikpulih rumah peninggalan berusia lebih 30 tahun itu kerana masalah kewangan.

Pemilik rumah itu, Saadiah Samat, 63, berkata, rumah itu adalah peninggalan suaminya, Latiff Awang yang meninggal dunia 11 tahun lalu.

Menurutnya, rumah papan itu banyak yang rosak membabitkan bahagian dapur, bilik dan ruang tamu selain bumbung yang bocor serta papan lantai reput.

“Kami terpaksa tidur berhimpit kerana rumah ini hanya ada satu bilik. Bagi kami yang dewasa tidak lah kisah mengenai kesulitan tidur tetapi bagi kanak-kanak terutama yang kecil, mereka akan rasa tidak selesa.

“Mak cik berharap sangat ada pihak sudi membantu membaikpulih rumah ini kerana enam anak lelaki yang berusia 26 hingga 38 tahun hanya bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan yang tidak menentu,” kata ibu kepada sembilan anak ketika ditemui di rumahnya, kelmarin.

Selain enam anak lelaki, seorang lagi anak perempuan Saadiah dan menantunya berserta empat cucu tinggal di rumah itu.

Dua lagi anak Saadiah masing-masing lelaki dan perempuan berusia 25 dan 27 tahun pula tinggal di kampung berdekatan dan di Johor.

Mengenai perbelanjaan harian bersama keluarga, Saadiah berkata, mereka tidak mempunyai masalah walaupun pendapatan diperoleh semua anak lelakinya tidak seberapa.

Katanya, sebelum ini keluarganya pernah meminta beberapa pihak membaikpulih rumah mereka namun tiada tindakan susulan.

“Keadaan rumah kami akan teruk apabila hujan kerana keadaan bumbung dan dinding rumah yang tidak sempurna,” katanya.

Disiarkan pada: June 25, 2018 @ 10:15am
d