mutakhir

Pulang tangan kosong

Oleh Poliana Ronnie Sidom

Sandakan: Satu ketika dulu nelayan di Kampung Segaliud, dekat sini, boleh membawa pulang 10 kilogram (kg) udang galah sepit biru setiap hari, namun kini mereka hanya mampu mendapat hasil paling banyak setakat dua kg atau terpaksa pulang dengan tangan kosong.

Ia susulan keadaan Sungai Segaliud yang dipercayai tercemar dengan sisa buangan daripada kilang sawit sekali gus menyebabkan punca pendapatan kira-kira 60 nelayan yang bergantung sepenuhnya terhadap hasil tangkapan ikan dan udang di kampung berkenaan terjejas.

Penduduk mendakwa keadaan itu berlarutan sejak 10 tahun lalu dengan fenomena ikan timbul dan air sungai berubah kehitaman dan busuk dipercayai akibat sisa toksik berlaku antara dua hingga tiga kali setahun.

Penduduk yang juga bekas Ketua Kampung Nooh Emam Abdullah Saani, 70, berkata ada lima kilang yang beroperasi di sepanjang Sungai Segaliud dengan ada antaranya pernah dikenakan tindakan termasuk membayar ganti rugi kepada penduduk kampung berkenaan.

“Biarpun pelbagai tindakan diambil, mereka tak serik dan terus buang sisa kilang ke sungai. Sebelum ada kilang di sini, boleh dikatakan orang luar datang ke sini semata-mata untuk mendapatkan udang galah sepit biru, namun sekarang tiada lagi.

“Kalau ada pun kena tunggu tiga atau empat bulan selepas sungai tercemar, tetapi cuma udang sebesar ibu jari. Bukan saja nelayan yang terpaksa menghentikan aktiviti selama empat bulan selepas sungai tercemar, kami sendiri tak berani sentuh air sungai kerana gatal,” katanya ketika ditemui NSTP.

Nooh berkata, antara spesies ikan yang ada di sungai itu termasuk baung, tilapia, tapah dan kanai dengan nelayan biasanya memasarkan hasil tangkapan di Pekan Bukit Garam, Checkpoint Batu 32 atau di jambatan Sungai Segaliud.

Katanya, penduduk berharap tindakan lebih tegas diambil terhadap kilang yang beroperasi di sepanjang sungai itu termasuk pemeriksaan berkala ke atas sistem pembuangan sisa toksik di kilang.

Tinjauan ke Sungai Segaliud juga mendapati tiada nelayan turun ke sungai menangkap ikan susulan bimbang air sungai masih tercemar selepas fenomena ikan timbul pada 25 Mei lalu.

Sementara itu, penduduk, Atchil Sadakil, 60, berkata Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Arifin Asgali sudah melawat kawasan berkenaan dan memberi jaminan akan mengatasi masalah terbabit.

“Kami harap tindakan tegas untuk memastikan situasi ini tidak berulang. Selain 60 nelayan berdaftar, ada ramai lagi penduduk menjadikan sungai ini sebagai punca rezeki,” katanya.

Disiarkan pada: June 25, 2018 @ 10:30am
d