mutakhir

Koridor gajah

Oleh Poliana Ronnie Sidom

Telupid: Konflik antara gajah dan manusia di Telupid berpotensi menjadi lebih besar sehingga mengundang kejadian buruk seperti berlaku di Hutan Simpan Gunung Rara di Tawau dan Kalabakan jika tidak diurus dengan baik.

Di Hutan Simpan Gunung Rara, Tawau, 14 gajah Pygmy Borneo mati antara Disember 2012 dan Januari 2013 dipercayai berpunca daripada campuran toksik beracun termasuk logam berat seperti arsenik dalam makanan secara sengaja oleh pihak tertentu.

Di Kalabakan, seorang pekerja ladang sawit Dumpas warga Indonesia terkorban akibat diserang dan dipijak hingga mati oleh seekor gajah liar pada 19 November 2016.

Penyelidik gajah yang juga Pengarah Projek Seratu Aatai, Dr Nurzhafarina Othman berkata, konflik yang berlaku di sini mungkin tidak dapat diselesaikan 100 peratus namun boleh dikurangkan dengan kerjasama semua pihak.

Katanya, usaha juga perlu diambil bagi memahami biologi dan perilaku gajah serta punca hidupan liar itu masuk ke kawasan manusia.

“Kajian perlu dibuat bagi mengetahui apa yang mendorong gajah ke penempatan manusia, adakah kerana gangguan daripada segi makanan dan pergerakan mereka.

“Selain itu, sebarang pembangunan harus diambil kira mengenai keperluan manusia dan gajah...laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) contohnya perlu dijalankan lebih telus.

“Jika perlu disediakan koridor untuk gajah, maka harus dilakukan dan kos itu perlu dimasukkan dalam pelan,” katanya ketika dihubungi.

Projek Seratu Aatai yang bermaksud perpaduan dalam bahasa Sungai menumpukan terhadap usaha memahami ekologi gajah Borneo di luar kawasan perlindungan dan membangunkan keupayaan tempatan untuk menangani konflik antara gajah dan manusia di Sabah.

Pendekatan ini menjadi model kerjasama baru untuk meningkatkan peluang menyelamatkan hidupan liar itu serta usaha pemuliharaan pada masa depan.

Selain itu, Dr Nurzhafarina berkata, dalam kes di Telupid dengan ada antara anak gajah turut dilahirkan dalam kawasan itu, kumpulan gajah mampu menjadi lebih sensitif jika terdapat gangguan.

“Kumpulan itu lebih sensitif dan pergerakan menjadi perlahan,” katanya.

Disiarkan pada: June 25, 2018 @ 11:17am
d