mutakhir

Kes anggota Abu Sayyaf dipindah ke Mahkamah Tinggi [METROTV]

Oleh Avila Geraldine

MAHKAMAH Sesyen Kota Kinabalu, hari ini, membenarkan kes lelaki warga Filipina yang didakwa menjadi anggota Abu Sayyaf dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Tertuduh, Marsan Ajilul @ Anuar Mohamad Asnalul, 32, dari Zamboanga, dilaporkan anggota kanan kepada pemimpin kumpulan Abu Sayyaf, Furuji Indaman iaitu pakar membuat bom di Basilan, selatan Filipina.

Dalam prosiding di hadapan Hakim Azreena Aziz, Timbalan Pendakwa Raya Husna Abdul Halim berkata, pihaknya sudah mendapat persetujuan untuk kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi sambil mengemukakan salinan dokumen berkaitan.

Berdasarkan pertuduhan, Marsan dituduh menjadi anggota Abu Sayyaf di sebuah kedai pejabat di Likas antara 31 Julai 2012 dan 15 Mac tahun ini.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dan kini menjalani hukuman penjara berkaitan kesalahan imigresen, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan kepadanya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130KA Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pada 13 April lalu, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan satu sebatan terhadap Marsan selepas mengaku bersalah tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah mengikut Seksyen 6 (c) Akta Imigresen.

Disiarkan pada: June 25, 2018 @ 1:54pm
d