mutakhir

'Arwah jadi pendiam sebelum ajal'

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

“ALLAHYARHAM Ithnin yang bertugas sebagai bilal di Surau Taman Murni berubah menjadi pendiam beberapa hari sebelum kejadian," kata Shahdan Satari, 69.

Shahdan adalah sahabat kepada Ithnin Tahir, 61 yang maut bersama ibunya, Surip Damiri, 80, dalam kemalangan yang berlaku di kilometer 108 Kampung Bukit Batu Senggarang, Batu Pahat, kira-kira 6 pagi hari ini.

Mereka maut selepas Proton Wira dinaiki dilanggar Toyota Vios ketika mahu keluar dari persimpangan jalan di kampung berkenaan. Dalam kejadian itu, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di anggota badan.

Shahdan berkata, Allahyarham mula menjadi bilal berganti-ganti dengan dirinya di surau berkenaan selepas bersara sebagai askar di Kem Mahkota Rejimen Jurutera Diraja Kluang dengan pangkat koperal.

"Arwah tidak sempat solat Subuh seperti kebiasaan di Surau Taman Murni dan mungkin pagi tadi dia bersolat di rumah sebelum mengambil ibu dan adiknya untuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.

"Kali terakhir berjumpanya semalam tetapi memang nampak dia berubah menjadi pendiam berbanding kebiasaannya yang ramah," katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNI, hari ini.

Dalam pada itu, abang mangsa, Jamain Tahir, 68, berkata, berapa hari sebelum kejadian, arwah beria-ia mahu memberikan motosikal Yamaha Cup walaupun motosikal itu tidak boleh digunakan itu lagi.

Jamain berkata, kali terakhir dia bertemu dengan ibu dan adiknya itu apabila pulang berhari raya, baru-baru ini.

Bagaimanapun pada hari ini, dia menerima panggilan daripada seorang saksi kejadian yang memintanya bersabar menerima ujian Allah SWT sebelum memaklumkan mereka sudah meninggal dunia.

"Seorang lagi adik saya, Rosnah Tahir, 52, yang terselamat dalam kejadian itu meminta seorang saksi menghubungi saya bagi memaklumkan kejadian.

"Difahamkan sebelum kejadian, mereka dalam perjalanan ke hospital yang sama kerana mahu menghantar Rosnah membuat pemeriksaan mental yang dilakukan setiap bulan," katanya.

Katanya, jenazah adiknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Linau Kecil Bukit Pasir, manakala jenazah ibunya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Simpan selepas Asar.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, kemalangan jalan raya dipercayai berlaku apabila mangsa yang maut dari arah simpang Kampung Bukit Batu, manakala pemandu Toyota Vios dari arah bandar Batu Pahat.

“Sampai di tempat kejadian, mangsa ingin keluar dari simpang sebelah kiri, namun datang Toyota Vios lalu melanggar Proton Wira di bahagian kanan,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987.

Berita berkaitan:

Dua beranak warga emas ajal bersama

Disiarkan pada: June 25, 2018 @ 7:16pm
d