mutakhir

'Baru bebas tapi masih belum serik'

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

BARU tiga bulan keluar penjara, seorang lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan semula kerana disyaki melakukan ugutan jenayah, hari ini.

Suspek berusia 36 tahun itu ditahan di Taman Indah Ria, Ayer Tawar di Manjung pada 12.30 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, suspek ditahan selepas seorang rakannya berusia 20-an membuat laporan polis mendakwa lelaki itu mahu mencederakannya akibat berlaku perselisihan faham antara mereka.

Menurutnya, lelaki itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung ketika menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, hasil pemeriksaan pada beg silang lelaki itu menemui beberapa bungkusan dadah dan wang tunai RM940 dipercayai hasil jual beli bahan terlarang berkenaan.

“Penahanan suspek membawa kepada penemuan beberapa jenis dadah pada begnya seperti ganja dengan anggaran berat 17.48 gram, syabu (1.33 gram), heroin (emapt gram) dan pil eramin 5 sebanyak 14 biji dipercayai untuk diedar di sekitar daerah Manjung.

“Selain itu, polis turut merampas sebilah parang dalam raga motosikal dinaiki suspek yang disyaki dicuri, malah suspek juga mengaku menggunakan senjata itu untuk mengugut mangsa,” katanya pada sidang media di IPD Manjung, hari ini.

Katanya, saringan ujian air kencing terhadap suspek didapati positif syabu dan semakan turut mendapati lelaki itu mempunyai pelbagai rekod jenayah.

“Suspek baru sahaja dibebaskan dari penjara sejak tiga bulan lalu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, selain kesalahan memiliki kenderaan curi dan dadah,” katanya yang memaklumkan suspek direman empat hari untuk membantu siasatan.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, polis merampas sebuah pacuan empat roda dan Proton Wira dipercayai kenderaan curi di sebuah rumah di taman perumahan sama pada 4 pagi susulan penahanan suspek.

Katanya, dalam serbuan kedua di sebuah rumah lain, polis turut merampas sebuah motosikal dipercayai dicuri.

“Dua suspek lelaki berusia 20 hingga 30-an berjaya melarikan diri, dan polis giat mengesan mereka,” katanya.

Disiarkan pada: June 25, 2018 @ 7:16pm
d