mutakhir

Tertuduh kes Kevin Morais sabit rasuah [METROTV]

Oleh Norrasyidah Arshad

TERTUDUH bagi kes bunuh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM7 juta oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini selepas didapati bersalah atas dua kes rasuah berjumlah RM700,000 lima tahun lalu.

Tertuduh, Dr R Kunaseegaran, 55, turut dipenjara dua tahun bagi setiap kesalahan itu jika gagal membayar denda berkenaan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozilah Salleh dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Pembelaan gagal mengemukakan satu penjelasan jujur yang boleh mematahkan anggapan.

“Justeru, tertuduh dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM3.5 juta bagi setiap pertuduhan.

“Namun hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tangkapan (sekitar September 2013),” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Dr Kunaseegaran didakwa meminta rasuah RM700,000 daripada Abdul Razar Abdullah, 48, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai upah mencadangkan RAZ Medical Supplies Sdn Bhd, B&S Enterprise dan Caramed Global Sdn Bhd menjadi pembekal ubat serta perkakas perubatan di HATTM pada 2013.

Perbuatan itu dilakukan pada jam 11.58 pagi, 29 Ogos 2013.

Bagi pertuduhan kedua, beliau sebagai ejen kerajaan didakwa bersetuju menerima wang tunai RM700,000 daripada individu itu di depan Empire Shopping Gallery Subang Jaya, pada jam 5.15 petang, 3 September 2013.

Berikutan itu, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16 (a)(A) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Sepanjang prosiding itu, seramai 16 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.

Dr Kunaseegaran kini ditahan di Penjara Sungai Buloh kerana menghadapi pertuduhan bersubahat dengan lima lelaki lain dalam kes itu, tiga tahun lalu.

Disiarkan pada: June 25, 2018 @ 10:25pm
d