mutakhir

'Guan Eng perlu mohon maaf'

Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng perlu memohon maaf secara terbuka dengan menarik balik kenyataan media dalam bahasa Mandarin berikutan secara jelas merendahkan martabat bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan pemimpin itu bertentangan dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 di mana umum mengetahui bahawa Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu.

Menurutnya, sebagai orang lama dalam arena politik, Guan Eng seharusnya sensitif bahawa apa-apa tindakan yang dilakukan tidak boleh menyentuh hal serta perkara yang termaktub dan dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Setiap perkara dalam Perlembagaan termasuk kedudukan Bahasa Melayu adalah ‘tiang seri’ yang menjadi satu citra dan wajah kepada peradaban serta ketamadunan bangsa Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Justeru kalau benar merasai diri lebih ‘Malaysia’ sebagaimana kenyataan beliau sebelum ini, maka pemakaian Bahasa Kebangsaan tidak wajar dikompromi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas berhubung tindakan Guan Eng yang mengeluarkan kenyataan rasmi Kementerian Kewangan dengan menggunakan Bahasa Mandarin.

Bagaimanapun, Asyraf berkata, Pemuda UMNO memandang serius isu itu dan menyifatkan Guan Eng sebagai sengaja mempermainkan, malah cuba menghina kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Katanya, mengenepikan penggunaan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dalam urusan rasmi Kerajaan Persekutuan juga adalah sama sekali tidak boleh diterima.

“Janganlah atas nama Malaysia Baharu, semua perkara hendak ‘dihalalkan’ sehingga sanggup mencabuli prinsip Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada kesejahteraan dan keharmonian negara sejak 61 tahun lalu,” katanya.

Disiarkan pada: June 25, 2018 @ 11:45pm
d