mutakhir

Angkat sumpah Menteri, Timbalan Menteri Isnin depan

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

ISTANA Negara memaklumkan istiadat mengangkat sumpah baki barisan Kabinet akan berlangsung di Istana Negara, pada 2 Julai ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V sudah menerima senarai nama Menteri dan Timbalan Menteri pada 20 Jun lalu.

“Senarai nama Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet itu diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan dikembalikan semula kepada Pejabat Perdana Menteri pada 22 Jun lalu.

“Pihak istana ingin memaklumkan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet akan diadakan pada 2 Julai di Istana Negara,” katanya dalam satu kenyataan media, tengah malam ini.

Kenyataan itu dikeluarkan merujuk kepada laporan berita yang disiarkan Malay Mail Online, semalam bertajuk ‘Cabinet List Delay? Dr M says ball in Agong's court’.

“Pihak Istana Negara memohon agar semua pihak tidak melaporkan perkara yang bersifat negatif dan tidak tepat terhadap Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, baki senarai menteri dimuktamadkan dan akan mengangkat sumpah dalam masa terdekat.

Sebelum ini, 13 menteri Kabinet sudah mengangkat sumpah.

Berita berkaitan

Baki senarai Kabinet dah muktamad

Disiarkan pada: June 26, 2018 @ 1:00am
d