mutakhir

Guna nombor, cukai jalan palsu demi kejar trip

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Taktik pengusaha sebuah syarikat bas ekspres mempamerkan nombor pendaftaran dan cukai jalan palsu bagi ‘mengejar trip’ ketika musim perayaan membawa padah apabila sebuah daripada basnya ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor.

Perbuatan pengusaha bas itu terbongkar selepas JPJ menahan pemandu bas ekspres terbabit berusia 39 tahun di Kilometer 33.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kulai, jam 10.30 pagi, 18 Jun lalu.

Pengarah JPJ Johor, Razali Wagiman berkata, hasil maklumat awam, anggotanya menahan bas terbabit yang dalam perjalanan dari utara dan destinasi terakhirnya di Terminal Bas Larkin, di sini.

“Hasil pemeriksaan, bas ekspres itu mempamerkan nombor pendaftaran milik bas lain, nombor casis palsu selain cukai jalan palsu.

“Ketika ditahan, ia membawa 21 penumpang. Pemandunya juga disyaki sudah menurunkan sebahagian penumpang di Pagoh,” katanya pada sidang media di JPJ Johor, semalam.

Menurut beliau, pihaknya mengesyaki pengusaha bas terbabit memiliki dua syarikat dilengkapi 34 bas termasuk lapan bas dengan syarikat kedua.

“Kemungkinan permintaan penumpang terhadap penggunaan pengangkutan awam ketika musim perayaan bertambah menyebabkan syarikat tidak dapat menampung penggunaan bas sedia ada.

“Oleh kerana terdesak, mereka menggunakan nombor pendaftaran bas lain yang juga milik syarikat sama,” katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2018 @ 2:56am
d