mutakhir

Salam Syawal Kaherah

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Hidangan tempatan Mesir seperti Kunafah, Hawasyi dan Ruz Bil Laban menjadi santapan empat pelatih industri yang pertama kali menyambut Aidilfitri di bumi orang, Jumaat lalu.

Di sebalik rasa teruja dan seronok, mereka juga sayu mengenangkan kenangan bersama keluarga berhari raya di tanah air namun bersyukur kerana mempunyai ‘keluarga besar’ di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).

Pelatih Latihan Industri Universiti Teknologi MARA, Shah Alam, Muhammad Ikraam Idris berkata, dia bersama tiga rakannya berhari raya di perantauan kerana tempoh latihan industri mereka juga jatuh pada bulan Syawal.

“Sejujurnya saya teruja dan seronok. Saya dan rakan lain sudah bersedia dari awal lagi untuk berpuasa dan menyambut Aidilfitri di sini memandangkan tempoh latihan industri kami bertepatan dengan kehadiran dua bulan mulia ini.

“Kami menjalani latihan industri jurusan bahasa Arab Komunikasi di Education Malaysia Egypt.

“Kali pertama dalam hidup kami menyambut Syawal di perantauan. Rasa sedih bertukar ceria kerana Aidilfitri di sini dimeriahkan dengan kehadiran pegawai kedutaan dan kenalan bersama keluarga mereka,” katanya.

Menurutnya, pada mulanya dia kekok memandangkan cara masyarakat Arab di Mesir menyambut Aidilfitri berbeza dengan masyarakat Islam di Malaysia.

Katanya, rasa rindu sedikit terubat apabila dapat menikmati nasi impit, kuah kacang, ketupat, rendang, lemang dan kuih-muih sama seperti di kampung halaman.

Bagi Atase (Pendidikan) di Education Malaysia Egypt, Rahmat Abdullah, pengalaman berhari raya di bumi Mesir sejak menjadi penuntut di sana pada 2005 sedikit sebanyak menggamit dan mengimbau kembali kenangan lama.

“Dulu ketika belajar di Universiti Al Azhar Cawangan Tanta dalam jurusan Syariah Islamiah selama tiga tahun, saya tidak pulang ke kampung untuk berhari raya.

“Hari ini, saya bertugas pula di sini, sudah tentu ada kenangan yang akan terus dikenang, apatah lagi dengan keluarga Malaysia di Kaherah. Rasanya sama seperti di kampung,” katanya.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Arab-Mesir dan Palestin, Mohd Haniff Abd Rahman berkata, menjadi tradisi setiap tahun bagi KBMK untuk mengadakan majlis sambutan Aidilfitri bagi meraikan penuntut dan warga Malaysia yang tidak pulang ke tanah air untuk merasai kemeriahan hari raya.

Katanya, sambutan kali ini sangat meriah dengan kehadiran 2,000 rakyat Malaysia di Dewan Malaysia Abbasiah, Kaherah.

“Saya bersyukur kerana dapat meraikan Aidilfitri pada tahun ini bersama pelajar di perantauan.

“Gembira melihat kerjasama dan semangat perpaduan yang diberikan oleh semua agensi di bawah KBMK dalam menjayakan majlis sambutan Aidilfitri tahun ini,” katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2018 @ 3:01am
d