mutakhir

Jangkitkan virus berbudi

Oleh Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur : Semai nilai prihatin dan kebaikan menerusi kerja sukarela. Kaedah itu diterapkan Kindness Malaysia menerusi projek bantuan kepada golongan memerlukan.

Memberikan khidmat setiap kali diperlukan, inisiatif itu mencetuskan impak positif bukan saja kepada penerima bantuan, tetapi juga generasi baru yang menunjukkan minat dalam kerja kemasyarakatan.

Koordinator Projek Kindness Nurul Huda Zakaria berkata, semua sukarelawan akan diterapkan semangat suka membantu dan berbuat baik kepada masyarakat.

“Gerak kerja Kindness membantu masyarakat yang memerlukan dengan memberi bantuan sewajarnya mengikut keperluan penduduk setempat pada masa sesuai.

“Pemilihan sasaran mengikut projek dipilih. Kindness lebih fokus kepada masyarakat setempat secara menyeluruh kerana tujuan asal ditubuhkan adalah menyemai sifat cintakan kebaikan di dalam diri setiap lapisan masyarakat.

“Ada projek memang dirangka untuk golongan sasaran seperti program Feed The Homeless, menyantuni gelandangan, projek Free Market dan Good Supply yang membantu meringankan beban orang susah, projek khas Hari Kemerdekaan memfokuskan kepada pelajar orang kurang upaya di sekolah dan projek Taja Mereka untuk anak yatim dan asnaf,” katanya.

Menurutnya, bagi setiap projek dirangka, pembabitan sukarelawan termasuk Koordinator Projek membabitkan 10 hingga 15 orang bergantung kepada kapasiti projek dan kelapangan sukarelawan.

Katanya, namun untuk projek berskala besar membabitkan kerjasama antara masyarakat setempat atau pelajar universiti, jumlah sukarelawan terbabit lebih ramai antara 100 hingga 150 yang membantu menjayakan program.

“Setakat ini kerjasama pelbagai pihak menggalakkan. Antaranya untuk projek pengedaran makanan, kami bekerjasama dengan pasar raya terkemuka mengedarkan bekalan bahan mentah yang mereka perlukan.

“Baru-baru ini untuk projek Kindness Kitchen, kami bekerjasama dengan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia untuk membeli pakaian raya kepada asnaf dan mengagihkan makanan kepada gelandangan serta orang ramai yang berada di kawasan Masjid Zahir, Alor Setar untuk berbuka puasa.

“Selain itu, kami memupuk semangat sukarelawan dengan mengadakan program bersama Universiti Utara Malaysia dan Universiti Teknologi MARA untuk mengagihkan beras, tepung dan makanan kepada pekerja kebersihan di dalam kampus,” katanya.

Nurul Huda yang juga Koordinator Projek Kindness Kedah/Perlis berkata, pada masa depan, pihaknya berharap terus mendapat sokongan daripada masyarakat kerana program dijalankan mereka memberi manfaat kepada orang ramai.

Disiarkan pada: June 26, 2018 @ 3:08am
d