mutakhir

Ladang sawit jadi 'port' lalok

Oleh Safuri Kamarudin

DUA puluh penagih yang menjadikan ladang sawit di Kuala Bakong, Kuala Ketil, sebagai sarang penagihan, ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Ops Perdana di Baling, semalam.

Dalam serbuan kira-kira 4 petang itu, penagih berusia antara 22 hingga 56 ditahan dalam keadaan masih khayal.

Ketua AADK Baling, Mohd Nasir Mohd Radzi berkata, operasi terbabit turut mendapat bantuan Unit Antidadah Sempadan (UAS) Bukit Kayu Hitam yang membantu mengepung kawasan ladang.

"Hasil risikan yang dilakukan, kita mendapati penagih menjadikan kawasan ladang sawit sebagai tempat mereka melepaskan gian.

"Kesemua mereka yang disyaki kemudian dibawa ke Pejabat AADK Baling dan ujian saringan air kencing mendapati 19 daripadanya positif Morfin dan seorang ganja," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 3(1)Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan ditahan reman di Pusat Tahanan Reman (PTR) AADK sementara siasatan kes dijalankan.

Disiarkan pada: June 26, 2018 @ 11:56am
d