mutakhir

Nyaris dibelit ular sawa

Oleh Nor Farhani Che Ad

PENGAWAL keselamatan nyaris dibelit ular sawa batik seberat 25 kilogram ketika cuba menghalau reptilia itu yang ditemuinya di Taman SP Saujana, Ambangan Height, di Sungai Petani, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi tadi, pengawal keselamatan terbabit sedang melakukan rondaan sebelum terserempak dengan ular sepanjang lebih tiga meter itu.

Pegawai Pertahanan Awam Kuala Muda, Kapten Azahar Ahmad, berkata pengawal keselamatan terbabit kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum empat anggota dikejarkan ke lokasi.

"Pengawal keselamatan terbabit pada mulanya menghalau ular berkenaan mengakibatkan haiwan itu bertindak agresif.

"Haiwan itu kemudian cuba masuk ke lubang saliran air ketika cuba ditangkap, namun dapat ditarik keluar dan dibawa pulang ke Rumah Haiwan APM Kuala Muda," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Azahar berkata sebanyak 544 kes tangkapan ular sejak Januari lalu hingga hari ini (26 Jun).

Katanya, kebanyakan ular yang ditangkap adalah jenis sawa, senduk dan sawa burung.

Disiarkan pada: June 26, 2018 @ 2:57pm
d