mutakhir

Padah 'main-main' dengan polis

Oleh Shamsul Munir Safini

PENJENAYAH cedera di kepala dan belakang badan akibat ditembak polis dalam kejadian di Bandar Tasek Mutiara, Nibong Tebal, hari ini.

Dalam kejadian 5.40 pagi itu, lelaki berusia 40 tahun yang memandu kereta cuba merempuh polis yang cuba menahannya kerana melarikan diri daripada sekatan, sebelum memaksa pihak berkuasa melepaskan beberapa tembakan yang mengenai kepala dan badannya.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan berkata, sebelum kejadian sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya sedang memburu suspek kes bunuh di Simpang Ampat.

Katanya, semasa usaha mengesan itu sedang dilakukan, polis mendapati kereta jenis Honda City yang dinaiki dua lelaki berusia 40 dan 38 tahun mengekori rapat satu daripada kenderaan dinaiki polis.

"Kereta yang dinaiki polis itu kemudian masuk ke kawasan masjid Kampung Kepala Gajah sambil diekori kereta suspek.

"Sebaik anggota polis berhenti dan memperkenalkan diri mereka, kereta suspek terus mengundur laju dan melanggar kereta Myvi di kawasan masjid sebelum melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, polis kemudian terus mengekori kereta suspek dan meminta mereka berhenti, namun mereka terus memecut laju melarikan diri.

Beliau berkata, pihaknya melepaskan satu das tembakan amaran ke udara namun, suspek enggan berhenti sebelum dua das lagi tembakan dilepaskan ke arah tayar kereta dinaiki mereka.

"Suspek masih enggan memberhentikan kereta mereka dan terus masuk ke kawasan Residensi Villa Mutiara sebelum berjaya dihalang oleh polis di dalam kawasan itu.

"Kereta dinaiki suspek kemudian cuba melanggar polis dan memaksa polis melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta suspek dan mengenai pemandunya di kepala dan bahagian belakang badan," katanya.

Thaiveegan berkata, suspek kemudian berjaya ditahan di dalam kawasan residensi itu sebelum pemandu yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Bakap bagi mendapatkan rawatan dan dilaporkan stabil.

Katanya, hasil pemeriksaan pada kenderaan dinaiki suspek juga menemui beberapa peket mengandungi serbuk dipercayai dadah.

"Polis juga merampas pelbagai jenis dadah dan pil daripada suspek dengan berat dianggarkan melebihi 22 gram.

"Semakan turut mendapati kedua-dua suspek memiliki rekod jenayah lampau membabitkan bunuh, mencederakan orang dan mengedar dadah.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Ddah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: June 26, 2018 @ 4:44pm
d