mutakhir

Tak minta maaf punya pasal

Oleh Mohd Roji Kawi

LAPAN lelaki termasuk seorang anggota polis berpangkat Koperal ditahan, hari ini, selepas mereka disyaki menyerang dan merosakkan kereta wanita yang terbabit dalam kemalangan maut, bulan lalu.

Kumpulan itu dikatakan bertindak kasar terhadap wanita itu yang juga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), yang terbabit dalam kemalangan sehingga menyebabkan adik seorang daripada suspek, maut.

Difahamkan, kumpulan terbabit tidak berpuas hati selepas wanita berusia 26 tahun yang tinggal sekampung dengan mereka di Kampung Sebandi Ulu, Asajaya, tidak tampil ke rumah mangsa untuk meminta maaf atas kejadian itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisioner Denis Leong Soon Kuai berkata, wanita itu tidak terus meminta maaf menyebabkan semua suspek ke rumahnya pada 10.30 pagi, Sabtu lalu.

Beliau berkata, berlaku sedikit ketegangan apabila semua suspek yang dikenali wanita itu bertindak merosakkan pintu gelongsor di rumahnya selain menamparnya serta menolak kereta milik wanita itu ke dalam parit.

"Kumpulan lelaki itu tidak puas hati dengan wanita itu apabila kereta yang dipandunya terbabit kemalangan dengan motosikal di Asajaya, bulan lalu sehingga menyebabkan kematian adik kepada seorang daripada suspek.

"Kumpulan itu bertindak demikian kerana wanita itu tidak menemui keluarga mangsa untuk memohon maaf atas kejadian itu," katanya sambil memaklumkan wanita itu dengan ditemani suaminya kemudian pergi ke rumah mangsa untuk memohon maaf.

Soon Kuai berkata, semua suspek yang berusia antara 20 hingga 39 tahun itu ditahan pagi tadi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147, Seksyen 323, Seksyen 427 dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

"Siasatan dilakukan termasuk bagi mengenalpasti peranan setiap suspek dalam kejadian itu," katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2018 @ 5:06pm
d