mutakhir

Penjenayah cedera kena tembakan

Oleh Shamsul Munir Safini

SEORANG penjenayah cedera di kepala dan belakang badan akibat ditembak polis dalam kejadian di Bandar Tasek Mutiara, Nibong Tebal, hari ini.

Dalam kejadian pada 5.40 pagi itu, suspek lelaki, 40, yang memandu kereta cuba merempuh anggota polis yang mahu menahannya kerana melarikan diri daripada diperiksa.

Akibat itu, pihak polis terpaksa melepaskan tembakan yang mengenai kepala dan badannya.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk A Thaiveegan berkata, sebelum kejadian sepasukan pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya memburu seorang suspek berkaitan kes bunuh di Simpang Ampat.

Katanya, pihaknya menyedari sebuah Honda City dinaiki dua lelaki berusia 40 dan 38 tahun mengekori dengan rapat salah sebuah kenderaan dinaiki polis.

“Kereta yang dinaiki polis itu kemudian masuk ke Masjid Kampung Kepala Gajah sambil diekori kereta suspek.

“Sebaik anggota polis memperkenalkan diri, kereta suspek terus mengundur laju dan melanggar sebuah Perodua Myvi di kawasan masjid sebelum melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, polis kemudian terus mengekori kereta suspek dan meminta mereka berhenti, namun kenderaan itu terus memecut laju.

Katanya, polis melepaskan satu das tembakan amaran ke udara, namun suspek enggan berhenti sebelum dua das lagi tembakan dilepaskan ke arah tayar kereta dinaiki mereka.

“Suspek masih enggan memberhentikan kereta dan terus masuk ke Residensi Villa Mutiara sebelum berjaya dihalang di dalam kawasan perumahan itu.

“Kereta dinaiki suspek kemudian cuba melanggar anggota polis dan memaksa mereka melepaskan beberapa das tembakan ke arah kereta suspek dan mengenai kepala dan belakang badan pemandunya,” katanya.

Menurutnya, suspek berjaya ditahan di dalam kawasan perumahan itu sebelum pemandu yang cedera dibawa ke Hospital Sungai Bakap bagi mendapatkan rawatan dan dilaporkan stabil.

Katanya, hasil pemeriksaan pada kenderaan dinaiki suspek juga menemui beberapa peket mengandungi serbuk dipercayai dadah.

“€œPolis juga merampas pelbagai jenis dadah dan pil daripada suspek dengan berat dianggarkan melebihi 22 gram.

“Kedua-dua suspek memiliki rekod jenayah membabitkan bunuh, mencederakan orang dan mengedar dadah,” katanya.

Katanya, mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Ddah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: June 26, 2018 @ 6:16pm
d