mutakhir

Taktik tunda MPV penuh ketum terbongkar

Oleh Mohamed Sahidi Yusof

SINDIKET pengedaran daun ketum dipercayai menggunakan taktik baru dengan menyembunyikannya di dalam kenderaan yang ditarik trak penunda.

Taktik itu terbongkar selepas pihak berkuasa berjaya mematahkan cubaan menyeludup daun ketum seberat 500 kilogram di sekatan jalan raya di Kampung Bukit Pak Mud, Jeli, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jeli Deputi Superintendan Mohd Yusoff Jaafar berkata, pihak polis menahan trak penunda yang membawa sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika melakukan rondaan pada 12 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan mendapati di dalam Toyota Estima yang ditunda itu sarat dengan daum ketum seberat 500 kilogram dan dibungkus menggunakan kertas dalam beg plastik hitam.

“Daun ketum berkenaan dianggarkan bernilai RM25,000 dipercayai dibawa menggunakan trak penunda itu dari Baling, Kedah ke Pasir Putih, Kelantan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, hari ini.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang dipercayai pemandu trak penunda itu direman empat hari bagi membantu siasatan.

Katanya, pemandu itu mendakwa dia diarahkan seorang lelaki supaya menunda sebuah kenderaan yang rosak di Baling untuk dibawa ke bengkel di Pasir Puteh.

“Siasatan mendapati Toyota Estima itu masih mengekalkan nama pemilik asal walaupun sudah dijual dan kini polis mengesan siapa pemilik baharu kenderaan berkenaan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Disiarkan pada: June 26, 2018 @ 7:28pm
d