mutakhir

Tujuh nasihat tangani halusinasi - Mufti WP

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

MUFTI Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi tujuh saranan kepada masyarakat dalam menangani penyakit halusinasi atau skezofrenia.

Beliau berkata, pihaknya terpanggil memberi pandangan mengenai penyakit mental itu susulan kejadian tragis terhadap Muhammad Nur Rashdan Muhammad Rizal, 19, yang mati dikelar ibunya di FELDA Jengka 13, Bandar Pusat Jengka, Maran, 24 Jun lalu.

Katanya, media melaporkan siasatan menunjukkan wanita terbabit mengalami halusinasi sebelum bertindak mengelar anaknya dan perkara itu turut disahkan suaminya.

“Maka penyakit (halusinasi) sebegini seharusnya mendapat perhatian masyarakat khususnya di Malaysia.

“Semua pihak harus menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan penyakit ini tidak terus meningkat peratusannya dari tahun ke tahun,” katanya dalam catatan di laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hari ini.

Zulkifli berkata, antara saranan atau nasihat itu termasuk memastikan setiap individu yang menghidap penyakit itu mendapat rawatan pakar psikiatri, sentiasa didampingi dengan tidak meninggalkan mereka sendirian dan kerap merujuk kepada pakar dari semasa ke semasa.

“Mereka yang menghidap halusinasi ini juga perlu sentiasa diajak ke majlis ilmu dan halaqah agama bagi memperoleh kefahaman berkaitan Islam.

“Selain itu, mereka juga mesti dipastikan selalu duduk secara berkumpulan dan memperbanyakkan berzikir kerana mampu menenangkan hati.

“Allah SWT berfirman di dalam surah al-Ra’du, ayat 28 bermaksud: (Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia,” katanya.

Menurutnya, pesakit halusinasi juga disarankan sentiasa memperbanyakkan doa supaya ditetapkan hati dan ditenangkan jiwa seperti dianjurkan Nabi Muhamad SAW.

Katanya, banyak ayat menceritakan bisikan ghaib dalam al-Quran dan kebanyakannya berkait dengan syaitan yang mendorong kepada perlakuan jahat selain bisikan yang datang dari dalam diri seseorang.

“Dalam surah al-Nas, ayat 5, misalnya yang bermaksud: 'Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia'.

“Ayat ini ditafsirkan oleh Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili bermaksud: 'Iaitu sentiasa ada yang akan membisikkan kepada manusia dengan bisikan yang buruk dan jahat',” katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2018 @ 10:15pm
d