mutakhir

Hukuman penjara tauke katering kekal [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Seorang pengusaha katering terpaksa akur apabila Mahkamah Tinggi di sini, semalam menolak rayuan dengan mengekalkan hukuman penjara 48 bulan, tiga sebatan dan denda RM10,000 yang dikenakan terhadapnya sebelum ini.

Tertuduh, Ahmad Saifudin Abdullah, 45, sebelum ini didapati bersalah atas tuduhan menyalahgunakan kad kredit milik individu lain pada April 2013.

Sebelum ini, Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Julai tahun lalu menjatuhkan hukuman berkenaan selepas Ahmad Saifudin didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan kerana menyalahgunakan harta.

Bagaimanapun, Ahmad Saifudin membuat rayuan sebelum Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz menolak rayuan dengan mengekalkan hukuman terhadap tertuduh.

Tertuduh yang berasal dari Kemaman turut berdepan tambahan hukuman penjara selama 10 bulan lagi jika gagal membayar denda terbabit.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menyalahgunakan kad kredit Visa Gold milik Tong Kwang Yong, 45, dengan nilai RM2,028 di sebuah kedai telekomunikasi di tingkat bawah sebuah pasar raya, Jalan Padang Hiliran di sini, jam 12 tengah hari pada 24 April 2013.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud manakala tertuduh diwakili Zamri Md Jail.

Mengikut fakta kes, mangsa yang menyedari kehilangan kad kredit miliknya pada 11 Jun 2013 membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu.

Hasil pemeriksaan dengan pihak bank mendapati kad kredit berkenaan digunakan seorang individu di sebuah kedai telekomunikasi di pasar raya di sini, pada 24 April 2013.

Disiarkan pada: June 27, 2018 @ 3:39am
d