mutakhir

'Isteri mengadu suami ke rumah urut...'

Oleh Hasbi Sidek

HASIL aduan orang awam terhadap premis refleksologi yang menawarkan perkhidmatan seks berjaya memberkas 29 pelayan pelanggan (GRO) dari pelbagai negara dalam serbuan serentak di Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan Puchong, Selangor, awal pagi tadi.

Seramai tujuh lelaki warga asing turut ditahan dalam serbuan ini kerana didapati melakukan pelbagai kesalahan imigresen selain lima warga tempatan yang juga majikan kepada GRO ditahan bagi membantu siasatan.

Jurucakap Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya berkata, rumah urut menimbulkan kegusaran kepada orang awam, malah golongan isteri juga turut membuat aduan kepada JIM kerana aktiviti itu antara faktor keruntuhan institusi kekeluargaan.

“Sehubungan itu, Bahagian Operasi JIM Putrajaya menjalankan operasi dan pemeriksaan di dua pusat urut yang menawarkan khidmat tukang urut wanita warga asing secara serentak.

“Satu di Jalan Ampang, di sini, manakala satu lagi bertempat di Pusat Bandar Puchong, Selangor," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua tahanan ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen untuk siasatan dan tindakan susulan," katanya.

Menurutnya, banyak aduan awam diterima berhubung kewujudan premis pusat urut yang menawarkan khidmat wanita warga asing sebagai tukang urut malah, ada juga yang beroperasi sebagai pusat kesihatan keluarga dan aktivitinya disyaki turut juga menawarkan kegiatan yang tidak bermoral.

“Masalah sosial dan keruntuhan institusi keluarga juga mengundang kepada peningkatan aduan yang diterima kebanyakannya dari orang awam yang terdiri dari suri rumah serta individu yang prihatin.

“Sekali lagi JIM mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan aduan. JIM berharap supaya rakyat sentiasa menjadi mata dan telinga JIM bagi membantu membanteras lambakan serta salah guna pas dalam kalangan warga asing,” katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2018 @ 9:25am
d