mutakhir

Tak padan dengan gaji kecil... [METROTV]

Oleh Siraj Mohd Zaini

SUDAHLAH bergaji kecil, tetapi berangan mahu hidup mewah dengan melaburkannya ke mesin judi dalam talian yang tidak diketahui pulangannya.

Itu antara tujuan utama empat 'tahi judi' menghabiskan pendapatan, namun mereka tidak bernasib baik kerana diberkas sepasukan polis dalam tiga serbuan di daerah ini bermula kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Dalam serbuan oleh sepasukan 28 anggota dan pegawai polis Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman diketuai Superintendan Hussin Mat Junus itu, polis turut menahan enam penjaga premis termasuk empat daripadanya warga Indonesia.

Serbuan selama hampir empat jam itu juga turut disertai polis Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang sedang leka berjudi hanya terkedu sebaik saja melihat anggota polis menyerbu salah satu premis terbabit.

Dia yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang di Klang dan sudah berumah tangga mendakwa memasuki pusat judi tidak berlesen itu tidak sampai 10 minit sebelum itu.

"Saya membayar wang RM100 untuk berjudi, tapi tidak sempat untuk membuat apa-apa sebab polis sudah masuk serbu tempat ini.

"Pendapatan bulanan hanya RM1,500 dan isteri tidak tahu saya pergi berjudi. Kegiatan ini sudah menjadi hobi sejak dari kecil lagi namun tidak pernah ditangkap polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah STAGG Senior Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussin berkata, operasi dijalankan selepas mendapat aduan daripada penduduk setempat berhubung kegiatan judi di kawasan itu.

Beliau berkata, Ops Dadu Klang Selatan itu menyerbu tiga premis iaitu di sekitar Bandar Parklands, dekat Pelabuhan Klang, yang dipercayai sudah beroperasi hampir dua bulan.

"Salah sebuah pusat judi turut berselindung di dalam premis snuker yang mempunyai bilik khas untuk kaki judi.

"Premis mempunyai alat kawalan jauh bagi mengawal individu keluar masuk serta dilengkapi kamera rakaman litar tertutup (CCTV) bagi memantau kehadiran pihak berkuasa," katanya kepada NSTP.

Mohd Nadzri berkata, hasil serbuan, polis merampas 43 komputer riba, dua set komputer, modem, tiga mesin simulator, buku catatan dan wang tunai berjumlah RM690.

Katanya, seramai 10 individu ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/1963.

Disiarkan pada: June 27, 2018 @ 9:37am
d