mutakhir

'Patutlah dua hari tak nampak...'

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

WANITA warga emas yang mengalami kemurungan diselamatkan anggota bomba selepas terperangkap dalam bilik air di sebuah rumah di Taman Bukit Chedang, Fasa 2, Seremban, hari ini.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2 Mohd Syazwan Saidy berkata, dalam kejadian pada 5.55 petang itu, pihaknya menerima panggilan jiran memaklumkan wanita, 66, tidak kelihatan selama dua hari sekali gus menimbulkan kebimbangan.

Katanya, difahamkan mangsa mengalami kemurungan selepas kematian ibunya kira-kira dua minggu lalu selain sering bercakap seorang diri.

“Sebaik menerima panggilan, enam anggota dikerahkan ke lokasi dan terpaksa memecahkan pintu pagar utama serta pintu hadapan rumah yang berkunci.

“Kami menemui warga emas itu dalam keadaan separuh bogel dan kebingungan di dalam bilik air,” katanya.

Katanya, pihaknya mengambil masa selama 45 minit untuk mententeramkan warga emas terbabit sebelum memberikan rawatan awal.

“Mangsa kemudian diserahkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban untuk rawatan lanjut.

“Berdasarkan keterangan jiran, mangsa kemurungan selepas kematian ibu dan adik-beradiknya,” katanya.

Menurutnya, jiran turut mendengar jeritan dan bunyi ketukan kuat dari rumah mangsa.

“Jiran berkenaan cuba memanggil nama mangsa, tetapi tidak dijawab,” katanya.

Katanya, jiran terbabit menghubungi bomba kerana bimbang sesuatu tidak baik menimpa wanita itu.

Disiarkan pada: June 27, 2018 @ 10:25pm
d