mutakhir

Ugut mahu bunuh [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap dakwaan mengugut memukul, membakar rumah dan membunuh keluarga seorang penuntut universiti.

Tertuduh, Aman Shah Said Anib, 31, dan Muhamad Roslan, 45, masing-masing mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut kertas pertuduhan, Aman Shah didakwa mengugut mahu membakar rumah, memecahkan kereta dan membunuh keluarga Amirul Anwar Husin, 20, dengan niat menimbulkan perasaan takut di rumah di Jalan Sungai Rengas Padang Sena di sini, jam 3.30 pagi pada 18 Jun lalu.

Muhamad didakwa melakukan ugutan jenayah dengan mengugut mahu memukul mangsa di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan dengan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Adila Mat Zaidan manakala kedua-dua tertuduh diwakili Horley Isaacs.

Mahkamah menetapkan 12 Julai ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh dibenar diikat jamin RM3,000 seorang.

Disiarkan pada: June 28, 2018 @ 3:41am
d