mutakhir

Tuai cili di laman

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Nerus: Kesukaran mendapat pekerjaan mendorong pemuda berkelulusan Diploma Multimedia mengusahakan tanaman cili di halaman rumahnya sejak empat bulan lalu.

Usaha Aminuddin Ismail, 24, dari Kampung Teluk Ketapang berjaya apabila tanaman 120 pokok cili Marang dan 70 pokok cili Kulai mengeluarkan hasil sehingga 260 kilogram sebulan.

Aminuddin berkata, dia menceburi bidang itu kerana terpaksa berikutan kekurangan peluang pekerjaan terutama berkaitan jurusannya.

“Saya buntu memikirkan masa depan kerana gagal mendapatkan pekerjaan sebelum memperoleh idea untuk menceburi bidang ini.

“Bermula dengan hanya beberapa pokok cili sebelum saya kembangkan sehingga memiliki 120 pokok cili Marang dan 70 pokok cili Kulai.

“Kaedah dan teknik tanaman menggunakan sistem fertigasi saya pelajari melalui Internet selain turut dibantu bapa (Ismail Abdul Wahab, 65),” katanya.

Selepas empat bulan mengusahakan tanaman itu di halaman rumah, dia mendapat keyakinan untuk mengembangkan saiz tanaman.

“Setiap pokok menghasilkan sekurang-kurangnya dua kilogram cili setiap bulan. Justeru, jika jumlah pokok ditambah, hasil yang diperoleh juga bertambah.

“Seronok apabila pokok yang ditanam dan dijaga itu mengeluarkan hasil segar dan permintaan yang agak tinggi memberi perangsang kepada saya untuk meneruskannya,” katanya.

Menurutnya, dia menguruskan tanaman termasuk meracun, membaja dan memetik hasil bermula jam 7.30 pagi hingga 12 tengah hari.

“Cabaran mengusahakan tanaman itu ialah ancaman serangga perosak seperti hama dan kulat. Justeru, perlu menanganinya awal.

“Harga cili yang tidak menentu serta saingan daripada pasaran cili Vietnam dan Thailand juga antara ancaman kepada pengusaha tanaman ini,” katanya.

Bapanya, Ismail berkata, dia tidak kisah anaknya mengusahakan tanaman cili itu asalkan ia dijalankan secara serius dan menggunakan sistem yang betul.

“Saya sentiasa memberi sokongan kepada Aminuddin dan berharap usahanya itu beroleh kejayaan.

“Zaman sekarang bukan zaman untuk memilih pekerjaan. Mereka yang perlu merebut peluang dan berusaha keras untuk berjaya,” katanya.

Menurutnya, dia berusaha untuk mendapatkan tanah sesuai bagi mengusahakan tanaman itu dalam skala yang lebih besar.

“Saya lihat potensi bidang ini sangat besar malah permintaan terhadapnya sentiasa ada dan tidak mencukupi,” katanya.

Disiarkan pada: June 28, 2018 @ 3:55am
d