mutakhir

Nuar Ayam dihukum gantung sampai mati [METROTV]

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Nuar Ayam yang terbabit dengan pelbagai jenayah di negeri ini dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas didapati bersalah membunuh pemilik kedai peralatan binaan di Bachok, tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache menjatuhkan hukuman itu terhadap Anuar Muhamad, 40, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melepaskan tembakan dengan niat untuk menyebabkan kematian Mustaffa Sidik, 52, di sebuah kedai peralatan binaan di Beris Lalang, Bachok, jam 5.50 petang pada 5 Februari 2015.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shaharaliza Ab Razak dan tertuduh diwakili peguam Nordiana Mohd.

Ahmad dalam penghakimannya berkata, pembelaan tertuduh bersifat penafian semata-mata dan mendapati tertuduh bersama dua lelaki berada di lokasi kejadian menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Disiarkan pada: June 28, 2018 @ 4:03am
d