mutakhir

Pasangan kekasih jual minuman ekstasi ditahan [METROTV]

Oleh Faris Fuad

PASANGAN kekasih dikesan mencampurkan ekstasi dalam botol minuman jenama terkenal untuk dijual kepada mereka yang mahu dadah itu.

Lelaki tempatan dan teman wanitanya yang juga warga Thailand, masing-masing berusia 30-an kemudian menjual minuman berkenaan di pusat hiburan sekitar Cheras dan Lembah Klang.

Taktik mereka bagaimanapun terbongkar selepas kedua-duanya ditahan polis di dalam sebuah kereta di tepi jalan di kawasan Pandan Indah, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, ketika ditahan, polis turut menemui 50 pil Erimin 5, 20 peket plastik lut sinar mengandungi dadah jenis syabu dan 10 pil ekstasi berwarna kuning pada suspek.

“€œTurut dirampas, lapan pil ekstasi warna hijau, dua pil ekstasi warna merah jambu dan satu botol minuman jenama terkenal berisi cecair disyaki mengandungi dadah jenis ekstasi.

“€œAir minuman itu dijual RM180 sebotol, manakala satu paket kecil ekstasi dijual antara RM180 hingga RM200 setiap satu... ia mampu dicampurkan di dalam tiga botol minuman itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Ampang Jaya, hari ini.

Hamzah berkata, susulan itu, polis menyerbu sebuah rumah di kawasan sama dan merampas pelbagai jenis dadah termasuk 120 pil Erimin 5, 68 pil ekstasi dan 45 paket plastik lut sinar mengandungi syabu.

“Nilai rampasan dadah secara keseluruhan berjumlah RM20,820,” katanya.

Beliau berkata, suspek direman selama tujuh hari bermula semalam dan disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1), Seksyen 13(2) dan Seksyen 15(1)(a)

Akta Dadah Berbahaya 1952.

Disiarkan pada: June 28, 2018 @ 11:57am
d