mutakhir

Baguih yo oghang Noghori...

Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

SETIAP Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan akan mempunyai pusat sehenti 'Food Bank' dalam memudahkan mereka yang kurang kemampuan memperoleh keperluan asas.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, keperluan asas seperti minyak masak, tepung, gula, susu, beras dan sebagainya itu diperoleh hasil daripada sumbangan orang ramai.

Katanya, penerima terdiri daripada nama yang disenaraikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain keluarga susah yang dikesan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan berkenaan.

"DUN Nilai akan menjadi lokasi pertama kewujudan Food Bank yang terletak di Balai Raya Nilai dan disusuli DUN Labu dan lain-lain dalam masa terdekat.

"Ini adalah satu daripada usaha kerajaan negeri yang prihatin terhadap golongan kurang bernasib baik dalam mengurangkan beban mereka termasuk memastikan mereka tidak berada dalam kelaparan," katanya kepada pemberita di Majlis Pelancaran 'Food Bank' dan 'Food Aid' di Hotel Royale Chulan di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar negeri, Ismail Ahmad dan Pengarah JKM, Mohamad Hapil.

Dalam pada itu, Nicole menjelaskan, program Food Aid akan memberi tumpuan terhadap gelandangan dengan pemberian makanan seminggu sekali kepada mereka bermula malam ini.

"Ia mendapat kerjasama dengan Hotel Royale Chulan, Klana Resort Seremban, Royal Sungai Ujong Club dan Pasarya NSK.

"Buat masa ini, kita berjaya mengesan 36 gelandangan di tiga lokasi iaitu di Ampangan, Perhentian Bas Terminal One dan Taman Tasik, Seremban.

"Program ini akan diperluaskan lagi ke daerah lain selepas lantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) baharu," katanya.

Disiarkan pada: June 28, 2018 @ 12:14pm
d