mutakhir

Kemelut rumah tangga Ziana berlarutan [METROTV]

Oleh Norrasyidah Arshad

MAHKAMAH Rendah Syariah Shah Alam, hari ini, memerintahkan Ziana Zain dan suami, Armin Zaharin Mohd Zambri untuk melantik hakam di pihak masing-masing berhubung tuntutan perceraian yang difailkan Ziana.

Hakim Syarie Mohd Nizar Mohtar memerintahkan hakam terbabit dilantik dalam kalangan ahli keluarga lelaki dan dibawa ke mahkamah pada prosiding 12 Julai depan, 2.30 petang.

Katanya, perintah hakam itu dibuat selepas melihat laporan dari Jawatankuasa Pendamai yang mendapati wujudnya perbalahan di kedua-dua pihak dalam perkahwinan mereka.

Mohd Nizar turut mengeluarkan notis kehadiran kepada Armin selaku defendan supaya hadir pada tarikh terbabit berikutan ketidakhadirannya atau wakil pada hari ini.

Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pendamai yang dibacakan Mohd Nizar, Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana, 50, dan Armin, 53, bersetuju untuk bercerai secara baik dalam mahkamah bagi menyelesaikan kemelut perkahwinan mereka.

“Kedua-dua pihak juga sudah tidak tinggal bersama sejak Februari 2018 hingga sekarang.

“Berdasarkan laporan, kedua-dua pihak bersetuju isu berkenaan suami isteri dengan anak-anak selepas bercerai akan dibincang dan diperhalusi sebaik-baiknya,” katanya.

Dalam prosiding pagi tadi, penyanyi Madah Berhelah itu hadir memakai baju kurung biru ditemani peguam Yusfa Hanis Yussoff serta adiknya, Anuar.

Pada 3 April lalu, Ziana memfailkan tuntutan perceraian di Mahkamah Syariah di sini, namun Armin dikatakan tidak bersetuju melafazkan cerai dan meminta kes itu dibawa ke Jawatankuasa Pendamai.

Sementara itu, ketika ditemui di luar mahkamah, Ziana berkata Anuar mungkin dipilih sebagai hakam namun perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu.

Berita berkaitan

'Saya kena sabar sikit je lagi...'

Disiarkan pada: June 28, 2018 @ 2:13pm
d