mutakhir

Menyamun guna pil tidur

Oleh Hadzlihady Hassan

GUNA pil untuk samun. Itu dilakukan penjenayah yang memperdaya mangsa dengan memberi pil kononnya untuk rawatan angin ahmar sebelum dia menyamun dua lelaki dalam kejadian di Tokong Cina Tie Ya, Titi Serong di Balik Pulau, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, kedua-dua mangsa berusia 56 dan 72 tahun dikesan dalam keadaan khayal selepas mereka makan pil terbabit dan kini masih mendapat rawatan di Hospital Balik Pulau.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan berkata, kejadian itu hanya disedari anak perempuan seorang daripada mangsa terbabit yang dihubungi ibunya kerana hairan selepas melihat suaminya tidur dan khayal sejak pagi.

“Anak perempuan mangsa bergegas pulang dan terkejut apabila melihat keadaan bapanya yang lemah serta masih khayal.

“Selepas mendengar cerita daripada bapanya, wanita terbabit kemudian terus menuju ke Tokong Cina Tie Ya dan terkejut apabila mendapati bapa saudaranya terbaring dalam keadaan sama,” katanya.

Anbalagan berkata, wanita itu membawa bapa dan bapa saudaranya ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan doktor mendapati air kencing mereka mengandungi bahan aktif pembuatan pil tidur.

“Kita juga dapati dua mangsa terbabit diberi lima pil setiap seorang oleh suspek yang mendakwa dapat mengubati angin ahmar namun selepas menelan pil itu mereka terus hilang kawalan dan menjadi khayal.

“Suspek mengambil kesempatan itu untuk mencuri wang dalam dompet mangsa dan terus melarikan diri.

“Kita masih memburu lelaki berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: June 28, 2018 @ 3:31pm
d