mutakhir

Murid maut dilanggar lori sampah

Oleh Faliq Lajim

MURID perempuan Tahun Tiga maut selepas dipercayai dilanggar sebuah lori sampah dalam kemalangan di Seksyen 27, Shah Alam, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.35 tengah hari, mangsa Nor Syazrina Damia Mohd Nazrul Rafizi, 9, difahamkan cuba menyeberang jalan bersama rakannya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib berkata, siasatan awal mendapati pemandu lori terbabit dipercayai dari arah Persiaran Klang ingin membelok ke simpang di jalan itu.

“Ketika membelok ke simpang itu, mangsa bersama rakannya dipercayai melintas jalan secara tiba-tiba.

“Rakan mangsa sempat melintas, namun mangsa bergesel lalu terjatuh ke bawah lori sampah berkenaan.

“Pemandu lori itu kemudian menghentikan kenderaannya dan mangsa cuba bangun, namun lori berkenaan mengundur menyebabkan mangsa digilis tayar kenderaan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang dipanggil ke tempat kejadian.

Katanya, pemandu lori berkenaan juga tidak berada di tempat kejadian dipercayai melarikan diri.

“Kita sudah menghubungi pengurus syarikat terbabit untuk mendapatkan butiran pemandu berkenaan dan kerja-kerja mengesan individu yang melarikan diri itu kini giat dijalankan.

“Polis memohon kepada mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad dalam satu kenyataan, berkata pihaknya sedang mengenal pasti sama ada lori kompektor itu adalah milik kontraktor yang menjalankan kerja-kerja kutipan sampah di kawasan MBSA atau sebaliknya.

“MBSA akan mendapatkan maklumat lanjut daripada syarikat berkenaan berhubung operasi lori kompektor itu dari segi laluan kutipan sampah, petugas dan sebagainya.

“Kita tidak akan berkompromi sekiranya terbukti syarikat itu melanggar syarat ditetapkan semasa melakukan kerja-kerja kutipan sampah di kawasan berkenaan.

“Pada masa sama, MBSA menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian,” katanya.

Disiarkan pada: June 28, 2018 @ 7:56pm
d