mutakhir

Harap SPRM tiada niat lain - KJ

Oleh Shaarani Ismail

TINDAKAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu membekukan beberapa akaun UMNO termasuk akaun UMNO Pusat dan beberapa negeri diharap bukan bertujuan untuk mengharamkan dan membatalkan pendaftaran parti itu.

Calon Presiden UMNO Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pembekuan akaun berkenaan secara tidak langsung akan menyukarkan kerja pentadbiran dan urusan berkaitan parti itu.

Katanya, justeru jika terpilih sebagai Presiden UMNO pada pemilihan yang berlangsung Sabtu ini, perkara membabitkan akaun dan aset parti keramat itu menjadi keutamaannya untuk diselesaikan.

“Saya sangat-sangat khuatir dengan perkembangan terkini berkenaan dengan pembekuan akaun UMNO oleh pihak SPRM.

“Kalau dipilih sebagai Presiden UMNO, saya akan berusaha mempertahankan aset, akaun dan juga parti UMNO. Diharapkan kalau perlu diadakan perjumpaan dengan pihak berkuasa dan juga kerajaan, saya akan tampil memastikan bahawa UMNO tidak terbabit.

“Sebab walau apa pun siasatan ini (berkaitan 1MDB) tidak akan membabitkan UMNO. Sekiranya ada sumbangan daripada pihak tertentu terhadap UMNO, maka saya harap mereka dapat memberikan perincian kepada UMNO kerana saya tak mahu disebabkan kalau ada apa pun sumbangan dari sumber disiasat, ia akan menjejaskan parti secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan bersama UMNO Perak pada Majlis Sepetang Bersama KJ di Bagan Serai, hari ini.

Khairy berkata demikian mengulas perkembangan terkini mengenai dakwaan tindakan pembekuan akaun UMNO Pusat, Selangor, Pulau Pinang dan Johor oleh SPRM, hari ini.

Katanya, penerimaan wang daripada sumber yang sedang disiasat hanya andaian, tetapi diharapkan ia tidak menjejaskan keseluruhan akaun dan kedudukan parti.

“Jadi, perkara pertama kita akan buat ialah dapat melindungi UMNO daripada apa-apa tindakan untuk diharamkan dan juga apa-apa tindakan membekukan aset sebab UMNO bukan berada di pihak yang disiasat dan ini (siasatan 1MDB) tidak membabitkan UMNO,” katanya.

Menurutnya, jika terpilih menjadi Presiden, langkah pertama yang akan dilakukan adalah mendapatkan nasihat perundangan daripada peguam untuk bertemu dengan pihak berkuasa termasuk polis, Kementerian Dalam Negeri serta mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, langkah itu perlu dibuat bagi memastikan pembekuan akaun itu hanya untuk membolehkan siasatan dijalankan dan ia bukan usaha untuk mengharamkan dan merampas aset yang dimiliki UMNO.

Ditanya sama ada tindakan pembekuan akaun UMNO itu akan memberi kesan pada proses pemilihan pada Sabtu ini, katanya, ia tidak menjejaskan proses kerana persediaan sudah dilakukan.

Berita berkaitan

SPRM ada kuasa beku akaun UMNO - Muhyiddin

Akaun UMNO dibeku SPRM

Disiarkan pada: June 28, 2018 @ 8:33pm
d