mutakhir

Bersalin dalam tandas

Oleh Erika George

PENGUNJUNG premis perniagaan di Bintulu gempar apabila seorang wanita kurang siuman melahirkan bayi di tandas premis berkenaan, pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, dalam kejadian 11.40 pagi itu, wanita berusia 20-an itu selamat melahirkan bayi perempuan.

Beliau berkata, pada mulanya wanita terbabit bertindak agresif dan enggan dibantu apabila orang ramai menyedari dia menghadapi kesulitan.

“Dia berjaya ditenangkan pihak hospital dan polis yang kemudian menyambut kelahiran bayinya di dalam tandas itu.

“Selepas bayi dilahirkan, wanita itu tiba-tiba bertindak agresif semula dengan berlari keluar dari tandas sambil membawa bayinya,” katanya.

Beliau berkata, wanita berkenaan bertindak demikian kerana dipercayai enggan dibawa ke Hospital Bintulu untuk rawatan lanjut.

“Kakitangan hospital dan polis mengambil masa beberapa minit bagi memujuk wanita itu untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital,” katanya.

Difahamkan sebelum itu, wanita terbabit dilihat mengadu kesakitan, namun orang ramai tidak mengendahkannya kerana mengetahui dia kurang siuman dan sering dilihat berkeliaran di kawasan premis terbabit.

Tidak lama kemudian, wanita terbabit dilihat pergi ke tandas premis terbabit dan meneran bayinya.

Difahamkan, orang ramai yang menyedarinya

segera menghubungi pihak hospital.

Saksi yang enggan namanya didedahkan berkata, orang awam cuba untuk memberikan bantuan, namun gagal kerana wanita berkenaan agak agresif dan tidak mahu dibantu.

“Justeru, saya bersama orang awam lain menghubungi Unit Ambulans Hospital Bintulu bagi memberikan bantuan buat wanita malang terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: June 28, 2018 @ 8:48pm
d