mutakhir

Syarikat lanskap disiasat SPRM

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

SEBUAH syarikat kontraktor yang membuat tuntutan palsu lebih RM80 juta membabitkan projek lanskap di Putrajaya kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Difahamkan, tuntutan itu membabitkan projek lanskap di kediaman rasmi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri serta premis kerajaan sekitar Putrajaya.

Menurut sumber, SPRM sudah menjalankan siasatan dan merampas beberapa dokumen berkaitan di pejabat syarikat berkenaan, semalam.

Katanya, syarikat terbabit dianugerahkan kontrak lanskap antara 2016 hingga 2017 bagi menyelenggara serta membekal pekerja berkaitan projek berkenaan.

“Tetapi, syarikat itu tidak menyelenggara serta melakukan kerja dengan sempurna, namun membuat tuntutan penuh berkaitan projek berkenaan.

“Malah, menerusi maklumat yang diterima, syarikat itu didapati tiada kapasiti kerana tidak memiliki tapak untuk menanam bunga bagi projek lanskap yang diterima,” katanya.

Menurutnya, syarikat berkenaan juga didakwa tidak menyediakan pekerja secukupnya bagi menyelenggara projek yang diperoleh.

Bagaimanapun, katanya, syarikat itu masih mengemukakan tuntutan palsu melebihi bilangan sebenar pekerja yang dibekalkan.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan siasatan berkenaan, namun enggan mengulas lanjut.

Disiarkan pada: June 28, 2018 @ 10:06pm
d