mutakhir

3 penganjur kena tangkap [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis menahan 64 individu termasuk tiga penganjur judi pertaruhan keputusan Bola Sepak Piala Dunia 2018 yang rancak berlangsung di Russia dalam serbuan Op Soga VII Kuala Lumpur bagi tempoh 15 Jun lalu hingga kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, 61 serbuan dilakukan di seluruh pusat bandar ini dengan 16 serbuan dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, (27) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), (8) IPD Dang Wangi, (7) IPD Sentul, (2) IPD Brickfields dan (1) IPD Wangsa Maju.

“Kami turut merampas 64 telefon bimbit pelbagai jenama, satu tablet, pen, kertas mengandungi catatan pertaruhan, jadual perlawanan serta wang tunai berjumlah RM7,245 dalam serbuan berkenaan.

“Semua suspek warga tempatan yang ditahan berusia antara 26 hingga 65 tahun dibawa ke IPK Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4 (1), Seksyen 6 (1) dan Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953,” katanya.

Mazlan berkata, modus operandi sindiket pertaruhan itu adalah mempromosikan kegiatan mereka melalui kenalan.

“Ketika ‘demam’ Piala Dunia bermula, seperti sudah menjadi satu budaya, sesetengah individu mencari penganjur pertaruhan yang turut dikenali sebagai bookie untuk bertaruh.

“Mereka (bookie) diperkenalkan kepada individu terbabit melalui kenalan sebelum membuat pertaruhan sama ada melalui laman web, aplikasi atau secara bersemuka.

“Pembayaran pula dibuat dalam talian melalui aplikasi atau laman web, menerusi transaksi terus ke akaun bank serta bayaran tunai,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan serbuan secara dua peringkat dalam Op Soga VII Kuala Lumpur itu bagi tempoh 15 Jun lalu hingga kelmarin serta semalam hingga 15 Julai nanti.

“Bagi peringkat kedua nanti, kami mengambil pendekatan lebih intensif dengan melakukan lebih banyak serbuan berbanding peringkat pertama.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan itu diminta menghubungi Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Polis Kuala Lumpur di talian 03 21460649,” katanya.

Disiarkan pada: June 29, 2018 @ 4:25am
d