mutakhir

14 keluarga berpindah akibat banjir

Oleh Rafiqah Dahali

TIGA PULUH LIMA penduduk daripada 14 keluarga di Kampung Batu 2, Jalan Sipitang di Beaufort, terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara selepas rumah mereka digenangi banjir, semalam.

Difahamkan, selain hujan lebat, banjir itu disebabkan pembinaan sistem pembetungan yang menyebabkan parit tersumbat, sekali gus air bertakung di kawasan terbabit.

Banjir itu menyebabkan 14 rumah digenangi air sedalam kira-kira 14 kaki (empat meter).

Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Shaid Othman berkata, kesemua mangsa banjir berkenaan dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Pa' Musa, Beaufort yang dibuka pada jam 5.50 petang.

"Jalan utama Beaufort - Papar boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan dan tiada laporan mana-mana jalan dinaiki air," katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu difahamkan, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membuat penutupan jalan bagi pembinaan saluran perparitan untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di kawasan kampung berkenaan.

Dalam operasi banjir semalam, beberapa agensi terbabit antaranya polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta petugas dari Pejabat Daerah Beaufort, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kesihatan dan JKR

#kw banjir, beaufort, parit tersumbat

Disiarkan pada: June 29, 2018 @ 10:02am
d