mutakhir

Saya nak betulkan UMNO Kuala Pilah - Fauzi

Oleh Amran Yahya

PENYANDANG Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim yang berhasrat mempertahankan jawatan itu bakal dicabar tiga calon dalam pemilihan parti itu esok.

Semua calon yang menyerahkan borang pencalonan pada 17 Mei lalu sekali gus memberi gambaran berlaku pertembungan sengit bagi merebut jawatan berkenaan.

Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh bakal ditentang oleh tiga pencabar iaitu Shaharudin Mohamad, Datuk Fauzi Mohd Ghazali dan Mohd Tulhah Mohd Jais.

Sementara itu, Fauzi ketika ditemui membuat keputusan untuk bertanding jawatan itu dengan hasrat membawa perubahan dalam UMNO bahagian itu.

“Sudah tiba masanya UMNO Bahagian Kuala Pilah mengalami perubahan kerana selepas lebih 60 tahun mengalami aliran politik yang sama.

“Saya bertekad dan berazam untuk membetulkan UMNO bahagian ini yang mahukan pemimpin yang berjiwa bersih dan ikhlas,” katanya.

Beliau yang juga anak jati Johol berkata, kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sudah cukup memberi gambaran sebenar apa yang berlaku di dalam parti.

“Kepercayaan orang Melayu terhadap UMNO semakin berkurangan dan sudah pasti kita memerlukan seorang pemimpin baharu yang mampu mengembalikan semula kepercayaan orang Melayu,” katanya.

Sementara itu, bagi Timbalan Ketua UMNO bahagian, penyandangnya, Datuk Adnan Abu Hasan akan menerajui jawatan itu apabila disahkan menang tanpa bertanding.

Manakala jawatan Naib Ketua UMNO bahagian bakal menyaksikan pertandingan dua penjuru iaitu Saiful Yazan Sulaiman yang juga ADUN Johol dan bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian, Khairolnezam Shaari.

Disiarkan pada: June 29, 2018 @ 5:45pm
d