mutakhir

[UPDATE] Syukur kaki anak tak perlu dipotong

Oleh Ramli Ibrahim

“Syukur Alhamdulillah, kaki kiri anak yang hancur digilis forklif tidak perlu dipotong,” kata Roslida Kamarazaman, 38, ibu Mohd Danial Adha Shafawe, 6, yang cedera selepas digilis forklif di Kampung Chegar Bungor, Gua Musang, Rabu lalu.

Roslida berkata, pembedahan segera kaki kiri anaknya dijalankan di Hospital Kuala Krai (HKK) selepas kejadian.

“Pada mulanya saya bimbang dan takut kaki anak akan dipotong sekali gus berdepan kecacatan kekal.

“Bagaimanapun saya lega selepas dimaklumkan doktor kaki anak tidak perlu dipotong dan hanya dimasukkan besi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian 9.55 pagi itu, kaki kiri mangsa digilis kenderaan itu ketika sedang bermain di pekarangan kilang papan di kawasan industri di Gua Musang.

Mangsa yang mengalami kecederaan terus dikejarkan ke HKK untuk rawatan.

Kisah Roslida pernah dilaporkan NSTP selepas terpaksa tinggal di kandang kambing yang diubah suai kerana kesempitan hidup.

Susulan pendedahan itu, ramai pihak pihak tampil membantu termasuk Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Care yang membaik pulih kediamannya.

Berita berkaitan:

Ruslida ditimpa malang lagi

Disiarkan pada: June 29, 2018 @ 7:42pm
d