mutakhir

Mana ibu, bapa kandung Apul?

Oleh Amrullah Abdul Karim

KEHADIRAN bayi lelaki berusia tujuh hari dalam hidup suami isteri, Sarudin Zainal, 55, dan Mahyun Idris, 52, yang telah mendirikan rumah tangga selama lebih 11 tahun, dianggap suatu rahmat besar.

Kini, anak angkat itu, Muhammad Saifudin Said sudah berusia 12 tahun dan bakal memasuki persekolahan di peringkat menengah tahun depan.

Bagaimanapun, disebabkan dokumen berkaitan pendaftaran kelahiran dan status anak angkat yang tidak lengkap menyebabkan Muhammad Saifudin masih tidak dapat memiliki kad pengenalan diri.

Bagi menyelesaikan masalah itu, Sarudin tampil membuat pendedahan di dalam media bagi menjejaki ibu bapa kandung Muhammad Saifudin atau nama manjanya Apul.

“Apul diserahkan ibu kandungnya Ilyna Ramli, 44, di rumah kami di Kampung Kalung Tengah, Hulu Yam, Batang Kali, dengan kad kelahiran asal, tetapi ia hilang sebelum kami daftarkan semula.

“Ada perakuan sumpah, tetapi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) nasihatkan supaya buat laporan polis untuk dirujuk kepada pihak berkenaan bagi membolehkan saya menguruskan dokumen anak angkat selepas ibu bapa kandungnya gagal dikesan.

“Saya bimbang jika perkara ini tidak selesai dan Apul tak boleh didaftar ke sekolah menengah dan akan menjejaskan masa depannya,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Sarudin berkata, Muhammad Saifudin adalah anak bongsu daripada sembilan beradik dan walaupun hanya anak angkat, namun dia dan isteri tetap berhubung dengan ibu bapa kandungnya sehinggalah usianya empat tahun.

Menurutnya, bagaimanapun, mereka terputus hubungan selepas keluarga kandung Muhammad Saifudin berpindah.

Katanya, tiada sebarang usaha mendaftarkan kad pengenalan dibuat dalam tempoh itu kerana tidak menjangka akan menghadapi masalah seperti dialami sekarang.

“Alamat terakhir ibu kandung Saifudin adalah di Felda Keratong, Pahang manakala bapanya di Sungai Besar, Selangor, namun surat yang dikirim tidak berbalas.

“Saya mahu memudahkan urusan pendaftaran kad pengenalan Apul kerana dia sudah berusia 12 tahun.

“Kalau dapat berhubung dengan ibu bapa kandungnya mudahlah untuk menguruskan pendaftaran itu,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu bapa kandung Muhammad Saifudin boleh menghubunginya di talian 011-56581722.

Disiarkan pada: June 29, 2018 @ 9:24pm
d