mutakhir

Elak makan makanan proses dalam tin

Oleh Zuhainy Zulkiffli

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa orang ramai supaya tidak mengambil makanan proses dalam tin dan mengamalkan makanan tulen serta semula jadi.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, ia berikutan pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menarik balik enam jenama produk ikan sardin dalam tin di pasaran kerana mengandungi bendasing iaitu cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp.

Katanya, kejadian berkenaan menunjukkan makanan proses dalam tin tidak hanya memberi kesan buruk kepada kesihatan daripada sudut nutrisi sahaja.

“Malah, ia membabitkan keselamatan kerana kita tidak tahu bagaimana produk berkenaan diproses.

“CAP amat terkejut dengan kejadian ini kerana sekali lagi beberapa jenama sardin dalam tin tercemar dengan cacing dan ditemui di pasaran Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di Georgetown, hari ini.

Mohamed Idris berkata, walaupun perkara berkenaan sudah berlaku, ia bukanlah pengakhiran kerana terdapat beberapa isu yang perlu dipertimbangkan.

Beliau berkata, antaranya adalah mengenai langkah kementerian memastikan pemilik premis tidak terburu-buru menjual jenama tin sardin tercemar kepada pengguna yang tidak sedar keadaan ini bagi mengelak kerugian.

“Bagaimana bagaimana insiden pencemaran pada sardin dalam tin boleh berulang di negara ini?” katanya.

Pada April lalu, KKM mengumumkan dua jenama sardin dalam tin yang diimport dari China dan dijual di Malaysia tercemar dengan cacing mati sebelum enam lagi jenama dikenal pasti, dua bulan kemudian.

Cacing Filum Nematoda daripada genus Anisakis spp adalah parasit yang boleh menyebabkan Anisakiasis pada manusia jika dimakan.

Berita berkaitan

'[UPDATE] 6 lagi jenama sardin ada cacing'

''Ada cacing dalam sardin'

Disiarkan pada: June 29, 2018 @ 11:34pm
d